Tuesday, June 22, 2010

SasteraDalik.....

Akhirnya tamat juga siri Kesaktian untuk edisi blog saya. Sebenarnya cerpen itu sudah lama disiapkan, saja nak keluarkan ikut siri, nampak macam drama bersiri! Hehe..


Saya dan dunia penulisan memang dekat sahaja. Bagaimana munculnya minat ini pun sukar untuk saya ceritakan, yang pastinya ada beberapa individu yang telah memperkenalkan saya dalam bidang ini. Terima kasih kepada insan-insan tersebut yang membawa saya ke bidang ini!

Kata orang tua-tua, orang yang ada bakat menulis ini, seolah-olah ada siput laut di tangan yang menggerakkan jari-jemari menghasilkan sebuah karya yang menarik dan indah! ( Boleh percaya ke?)Apa pun, saya tetap menganggap kata-kata itu sebagai kiasan saja. Semua orang punya kebolehan masing-masing yang istimewa.

Hakikatnya, minat saya untuk menulis bercambah dengan minat membaca. Minat membaca itu pula bermula ketika saya masih di SKSI. Tahun terakhir disana, 2004, tahun yang sama saya mengambil UPSR. Dalam kelas Bahasa Melayu, kami diwajibkan meminjam sejumlah buku untuk dibaca dan dijadikan catatan NILAM. Peluang ini saya gunakan untuk mencari novel-novel kanak-kanak dan awal remaja yang sesuai dengan minat saya. Ketika itu saya lebih berminat dengan karya berbahasa Melayu saja. Genre seram, pengembaraan, fantasi dan sejarah(khususnya legenda seperti Hikayat, Kisah Malim Deman dan sebagainya) tetap menjadi pilihan saya.

Meningkat usia ke 13 tahun, saya mula meminati karya berbahasa Inggeris. Karya Enid Blyton turut menjadi minat saya. Kisah peri dan makhluk alam Bunian garapan Blyton sungguh menarik. Semakin lama menatap karya Inggeris, saya mula mengenali sastera Klasik Inggeris. Dari Shakespear hinggalah kepada adik beradik Bronte. Saya banyak menelaah karya Inggeris oleh HG. Well, Defoe, Lewis Caroll, Charles Dickens, E.Nesbit dan banyak lagi karya klasik yang menarik. Seingat saya, hampir puluhan buku klasik Inggeris telah saya baca di penghujung 2006. Saya tidak meminati novel cinta Melayu mahupun Inggeris. Tetapi Wuthering Heights karya Bronte cukup sempurna untuk menawan hati saya! Kisah cinta yang tragis. Pada saya ianya lebih hebat berbanding Titanic dan Romeo & Juliet.

Karya Charles Dickens yang berjudul A Tale of Two Cities juga sangat menarik. Dengan watak sampingan Lady Vendetta yang saya ingat sehingga saat ini. Ianya digarap dengan sangat baik dan mengujakan! Ketika itu juga saya mula mengenal karya Tolkien yang sangat berharga The Lord of The Rings. Kisah dunia Middle-Earth yang sangat hebat. Sebuah karya Sastera Inggeris genre Fantasi yang Agung! Saya juga mula mengenal The Chronicles of Narnia oleh CS Lewis. Ianya agak menarik juga walaupun sarat dengan elemen Kristian yang melampau! Saya akan ceritakan tentang novel ini pada post yang lain pula.

Namun, saya tidak melupakan karya Melayu. Saya turut menelaah hikayat-hikayat Legenda Melayu yang sebenar. Bahasanya yang cukup memeningkan tetapi sangat halus dan puitis. Ada jampi mantera dan lagu gurindam yang sangat indah dan menarik minat saya untuk menukil pantun dan beberapa rangkai sajak. Saya sangat suka mendekati perpustakaan sekolah. Sekadar untuk meminjam buku dan membacanya saja. Saya tidak pernah menulis NILAM. Pernah sekali saya dimarahi guru kerana tidak menulis NILAM. Hakikatnya , saya memang malas menulis NILAM. Cukup sekadar saya membaca dan mengetahui jalan ceritanya saja sudah memuaskan hati saya.



Karya penulis Melayu seperti Faisal Tehrani dan Ramlee Awang Murshid sempat saya kenali ketika menjengah usia 15 tahun. Novel seperti Advencer Si Peniup Ney, Ketupat Cinta, Detektif Indigo, Saasatul Ibaad sangat segar dan tajam pemikiran. Kumpulan Novel Bagaikan Puteri ialah karya Ramlee kegemaran saya. Tapi saya kurang gemar membaca karya beliau kerana pengakhirannya tidak menyeronokkan saya. Itu hanya pandangan saya saja. Sebelum saya membaca karya moden ini, saya sempat menjengah karya pasca merdeka Negara kita. Novel karya Ishak Muhammad, Syed Othman Kelantan dan ramai lagi sasterwan Negara sangat indah dan meruntun jiwa. Pemikiran yang dibawa menggambarkan suasana negara ketika itu yang baru merdeka.



Meningkat usia lagi saya mula mengenali karya Dr Rahmat Haroun Hashim yang bijak menggabungkan dunia sains dan satera. Saya mula mengenali Nizam Zakaria lewat karyanya yang berjudul Susuk, Seri Tertangguh dan Awang Vampiro. Ada sesuatu yang mencurigakan tentang karya beliau. Mungkin lain kali saja saya ceritakan. Karya Ilani Mysara berjudul Kuseru Namamu sangat mempesonakan. Kisah Sang Dewi Seri Wali yang menghapus sumpah keturunannya sungguh hebat! Sekarang saya kembali menatap karya Inggeris seperti Inheritance Cycle karya Christopher Paolini dan His Dark Materials Trilogy karya Philip Pullman yang saya sifatkan cukup ateis dalam pemahaman keagamaan! Saya juga sedang berusaha mendapatkan naskhah The Silmarillion dan The Hobbit yang merupakan kisah cebisan The Lord of The Rings yang menjadi kegilaan saya!



Novel-novel yang saya baca inilah yang banyak mempengaruhi karya saya. Saya berharap agar saya dapat terus berkarya dalam bidang penulisan mengikut genre yang saya minati!







Jangan jadi macam gambar hiasan di atas sudahlah!

No comments:

Post a Comment