***
Ibu itu terus berjalan lagi. Langkahnya kecil tapi pantas. Hatinya sudah tak tertahan lagi. Rindu ini makin menggigit jiwanya. Semakin dipendam semakin berbisa. Kasihnya membuak-buak menunggu masa melimpahkan sayang. Ingin didakap anaknya yang seorang itu. Sudah sekian lama dia merintih kepulangan anaknya. Penantiannya sudah cukup lama. Selagi kudrat masih mengizinkan. Semangatnya tetap utuh. Dia tidak ingin terus menyobek duka yang kian memburuk. Gelisahnya kian memberat. Langkahnya makin pantas ketika langit menurunkan tabir siang. Gebar malam mula menebar. Ibu itu berhenti. Dipetia sekelilingnya. Dalam kemengahan dia mengusap dadanya yang semput. Dibahunya tergalas bungkusan pakaian seadanya. Guruh menggegar menampar lapisan langit. Panahan kilat memancar membelah kegelapan senja. Hari bakal hujan. Ibu tua itu gelisah. Anaknya masih belum ketemu lagi. Angin bertiup kencang menerbangkan segala yang menghalang laluannya. Anak-anak hujan turun menerpa ibu tua itu. Dia berselindung disebalik hijabnya. Hijab itu menutup rambutnya yang sudah putih semuanya. Ibu itu menggigil kesejukan. Angin malam kian menusuk rasanya. Tempat berteduh masih belum ditemui. Hujan kian melebat membasahi bumi.
***
Iblis masih memerhati manusia itu. Sudah lama dia menanti peluang sebegini. Janjinya untuk menyesatkan manusia mesti dilangsaikan. Dia terus memerhati manusia itu yang terketar dalam keributan hujan. Malam kian memekat. Ketika hujan menitiskan titis terakhir Iblis itu menjelmakan dirinya sebagai seorang perawan muda yang cantik. Jejak lenggoknya menggiurkan setiap butir mata yang memandang. Dengan kekuasaan yang dianugerahkan Tuhan kepadanya Iblis pun menjelmakan sebuah pondok yang agak usang berdekatan tempat manusia yang diperhatinya sedari tadi. Jelmaan Iblis itu menghampiri manusia yang terketar itu. Hatinya tertawa melihat mangsanya.
***
Ibu tua yang berteduh dibawah pohon beringin itu menggigil kesejukan. Barisan giginya berketap atas bawah. Digosok-gosok bahunya sambil matanya melilau mencari tempat berteduh. Ibu tua itu memerhati sekeliling. Alangkah terkejutnya ibu tua itu apabila dihadapannya berdiri seorang perempuan muda yang cukup mulus kulitnya. Langkahnya sopan dan menenangkan hati. Perempuan muda yang berselubung kuning itu melemparkan senyumannya kearah ibu tua itu.
“Wahai ibu, mengapakah ibu keseorangan disini? Bukankah cuaca yang dingin sebegini banyak mudaratnya ibu?,”soal perempuan berselubung kuning itu.
“Anakku, ibu sebenarnya telah tersesat di kampung ini. Ibu dalam perjalanan mencari anak ibu. Sekarang ibu tidak tahu kemana arah tuju ibu. Ibu hanya tumpang bersolat di sini. Maafkan ibu sekiranya mengganggu tempat anakanda,”ucap ibu tua itu penuh sayu. Dia bingkas bangun mengatur langkahnya.
“Janganlah gusar wahai ibu. Anakanda tidak bermaksud menyakiti ibu. Anakanda cuma kasihan melihat ibu keseorangan disini. Marilah kerumah anakanda. Disana lebih selesa untuk ibu berehat sebelum meneruskan perjalanan,”
“Baik sungguh hati anakanda kerana sudi menumpangkan ibu dirumah anakanda. Siapakah gerangan anakanda yang baik hati ini? Ibu ingin sekali mengetahui yang empunya nama,”
“Nama anakanda Mayang wahai ibu. Anak kepada Panglima Bogor yang menguasai Tanah Bruas ini. Siapakah pula gerangan ibu dihadapan anakanda ini?,”
“Ibu bernama Sariah, anakanda. Orang-orang memanggil ibu Nek Sari saja. Kiranya ibu sudah berada di daerah Bruas rupanya. Tidak terasa jauhnya perjalanan ibu,”
“Benar ibu. Inilah Tanah Bruas. Sudahlah ibu, mari kerumah anakanda. Boleh berkenalan dengan ayahanda dan bonda anakanda. Mereka pasti gembira menemui ibu,”
Ibu tua itu berjalan perlahan sambil dipimpin Mayang. Ketika mereka tiba di perkarangan rumah Panglima Bogor, Dayang Sinda sudah gelisah di muka pintu. Puterinya dan suaminya masih belum pulang sedangkan rona malam kian menghitam. Pungguk berlagu rindu mengenangkan nasibnya. Dahan pohon kelapa kelihatan berkitai-kitai berkerisik bunyinya dihembus bayu malam. Kecak tanah yang basah disimbahi hujan kian jelas kedengaran dikeping telinga Dayang Sinda. Dia menjenguk tangga rumahnya sekali lagi
“Kemana saja anakanda malam-malam begini? Tingkah anakanda merisaukan Bonda. Sudahlah ayahmu belum pulang. Makin risau bonda dibuatnya,”ujar Dayang Sinda. Dia sayang benar akan anaknya itu. Apatah lagi itulah seorang sahaja anak tunggalnya.
“Tidak kemana-mana Bonda. Anakanda dari rumah Puteh tadi Bonda. Dalam perjalanan pulang anakanda bertemu dengan ibu ini dipinggir hutan sana. Anakanda kasihan melihatnya Bonda, sebab itu anakanda bawa ibu ini kerumah kita. Bonda tidak marahkan?,”Mayang mengulas panjang. Sariah kelihatan tertunduk malu. Dayang Sinda tersenyum sambil menghulur tangannya mengajak Sariah naik kerumah.
“Ya, Bonda tidak marah. Tapi, jangan pulang lewat lagi. Bonda risau. Marilah naik kandaku Sariah kerumah hamba yang tidak seberapa ini,”pelawa Dayang Sinda kepada Sariah.
Kesaktian Bahagian Dua
Malam itu Panglima Bogor pulang sedikit lewat kerana ada permasalahan dihujung kampung. Sebagai ketua sudah menjadi tanggungjawabnya menjaga kebajikan anak buahnya. Sariah membisu tanpa kata-kata ketika melangkah kerumah itu. Nadinya bagai berbisik menceritakan kisah kepadanya. Makrifat itu cuba didalami sebolehnya. Kalau ada yang kusut, cuba dirungkai habis. Tiba-tiba dia tersentak. Nalurinya terpaut pada lintasan fikirannya. Ya Allah, bencana apa yang melanda desa ini. Ampunkan daku wahai Yang Maha Esa, desis hatinya. Begitulah naluri insan yang dekat dengan pencipta. Sentiasa mengabdikan diri pada Khaliq cuma. Pasti kesaktiannya luar biasa. Sariah beristighfar panjang. Masakan desa yang sebegini permai alamnya...Subhanallah, Sariah terdiam sejenak. Dia cuba bertenang. Pada hematnya, tidak baik bersangka buruk pada orang. Apatah lagi dia sudah dapat berteduh dan berlindung di desa yang sebegini permai. Dalam keasyikan zikir, Sariah terlena. Kepenatan barangkali. Pungguk terus berlagu rindu.
“Wahai manusia, sungguh berani gerangan kamu menjejakkan kaki ke daerahku. Apa kamu tidak gentar samaku?”suara itu bergema. Keras dan menggerunkan.
“Apakah tingkahku ini salah? Dunia ini bukan milikmu wahai suara. Aku hanya berlalu mencari kebenaran dibumi Tuhan. Kesombonganmu itu tidak kugentar. Muncullah andai kamu anak jantan. Usah bersembunyi dibalik bicara yang menghina!”Sariah mengukir keberaniannya, menjawab suara itu yang entah siapa pemiliknya.
Angin bertiup kencang menerobos celah dahan. Pohon-pohon berliang-liuk seakan mahu tumbang. Bumi bergegar bagai diperintah sesuatu.
“Kamu bodoh. Manusia kerdil seperti kamu tidak selayaknya berbicara denganku. Akanku patahkan tulangmu dengan sekali tepis saja. Pergi kamu, sebelum kuceraikan nyawamu dari jasadmu!”
“Kesombongan dan keangkuhanmu sememangnya sukar untuk dilenturkan. Namun, tidak ada yang lebih berkuasa dari Allah. Dialah yang berhak menentukan hidup dan mati hambanya. Bukannya kamu, makhluk hina!”
“Kurang ajar kamu. Berani menentang kekuasaanku, menghina kehebatanku. Nah, terimalah habuanmu,” suara keras itu hilang. Senyap. Tiba-tiba hamparan pasir ditempat itu berputar bagai dipacu angin. Laju. Gelombang yang dikuasai Iblis itu menjunam menghampiri Sariah. Semakin dihampiri semakin jelas wajahnya. Hodoh benar. Sariah tersembam ketanah. Pipinya berdarah akibat tamparan makhluk itu. Kesaktian makhluk itu sungguh luar biasa. Angin itu kian ligat berputar. Bau busuk dan hamis menyelubungi sekeliling. Suara keras itu kedengaran lagi. Kali ini suara itu tertawa. Manusia itu tewas ditangannya.
Sariah bangkit. Dia membaca ayat-ayat Tuhan untuk melindungi dirinya. Dia menguis tanah dengan jarinya. Kemudian dia membuat bulatan disekelilingnya. Bibirnya lancar mengucap kalimah Tuhan. Putaran angin itu menghampirinya lagi. Kali ini dia sudah bersedia. Sariah tetap dengan munajatnya. Pada saat dan ketikanya, digenggam pasir itu kemudian dihembus dengan bacaan ayat-ayat suci. Dengan lafaz Bismillah, pasir itu lalu dilemparkan kearah angin itu. Sebaik sahaja pasir itu menghampiri angin itu, terdengarlah satu jeritan yang menggerunkan. Bagai halilintar membelah bumi. Gumpalan angin itu kian menipis. Yang tinggal hanyalah jasad kehitaman yang menggerunkan. Tubuhnya melecur kepanasan. Menjeritlah ia menahan kesakitan.
Alam senyap seketika. Sariah mengucap panjang. Sekepul asap kehijauan keluar dari jasad hitam itu. Suara itu kedengaran lagi. Garau dan keras.
“Kau akan terima balasannya. Ingat, kau akan terima padahnya. Kita akan bertemu lagi. Manusia bangsat!” serentak dengan itu makhluk itu pun menghilangkan dirinya. Suasana kembali tenang.
***
Ayam berkokok dikeheningan pagi. Sariah terjaga dari tidurnya. Wajahnya pucat dan berpeluh-peluh. Apa benar mimpi yang dialaminya malam tadi? Bukan, mimpi itu mainan tidur. Dia terasa pedih dipipinya. Seakan dicakar sesuatu yang tajam dan berbisa. Amat perit dan pedih. Diusapnya pipinya. Ternyata sungguh menikam menusuk-nusuk bagai dihiris. Ah, mana mungkin aku diganggu makhluk itu!, getus hatinya. Sariah menghadap cermin. Terdapat cakaran panjang yang mencomoti wajahnya. Tiga cakar semuanya. Luka cakaran itu bagai tidak mahu kering. Seakan disihir saja supaya terus mengalir perit. Sariah mengucap memuji Tuhan. Andai ini takdirku, aku terima dengan reda, begitulah janjinya. Biar jasad terkulai layu, biar nyawa terpisah dari badan, panji Tuhan harus tetap ditegakkan. Itulah sumpahnya! Itulah janjinya!
Kesaktian Bahagian Tiga
***
“Kamu tidak perlu bertaubat lagi. Tuhan sudah menerima taubatmu!,”perempuan yang dikenali sebagai Ratu itu berkata lagi.
“Tidak, dosaku terlalu banyak dengan-Nya. Aku tidak mahu lagi berjalan di muka bumi Tuhan ini dengan kesombongan. Cukup sudah masa silamku yang hitam. Aku tidak sanggup menahan perasaanku yang sering menghantui hidupku selagi aku masih bernyawa....”Zubaidah menangis dengan sebenar-benarnya. Dia tunduk malu dengan dosanya yang terlalu besar. Sudah tidak tertanggung lagi rasanya. Bagai mahu ditikam saja diri ini dengan panah beracun. Biar tiada yang tahu. Biar alam ini saja yang mengerti penderitaannya. Agar tiada insan yang bersedih hati lagi kerana hati busuk ini. Biarlah....
“Eh, kamu jangan jadi bodoh. Hidup ini masih panjang. Hidup ini medan hiburan yang nyata dan pasti. Jangan difikirkan masa silammu yang kusut. Contohilah aku, aku melalui hariku dengan hiburan dan keseronokan. Apa kamu tidak teringin semua itu?”perempuan itu berkata lagi. Kali ini dia tertawa melihat Zubaidah yang merintih menempelak diri.
“Sudah jangan ditangisi lagi kehidupanmu yang lalu. Ayuh bersamaku ketempat yang dapat menenangkanmu dari segala kekusutan ini. Kamu tidak akan sekali-kali menyesal bersamaku. Sememangnya, apa yang menyebabkan kamu jadi begini saudaraku?”
“ Tangan ini...tangan ini....bermandi darah insan tidak berdosa wahai saudaraku. Aku tidak sanggup lagi menggalas dosaku yang menggunung. Kemana lagi mahu dibawa diri yang hina ini,”Zubaidah menangis lagi. Lebih kuat dalam penyesalannya yang tidak berkesudahan.
“Sudah, kalau kamu tidak mahu mengikutku. Biar aku saja yang pergi. Tapi, kamu jangan menyesal nanti. Aku sudah katakan, hidup ini medan hiburan!” perempuan itu berlalu pergi sambil ketawa lagi.
***
Sariah berjalan di sekitar kampung sambil ditemani Mayang. Indah dan permai. Anak-anak kecil berlari-lari kesana kemari dengan gelak tawa riang yang tidak terkira. Sariah menitiskan air mata terkenang masa kecil anaknya yang kini entah dimana.
“Jangan main jauh-jauh nak, bahaya!”Sariah melepaskan anaknya bermain bersama teman-temannya. Hatinya gembira melihat kelincahan dan keseronokan anaknya berlari.
“Bonda Sari, mengapa bonda menangis dipagi hari?”ujar Mayang. Dia mengusap pipi Sariah yang dicucuri juraian air mata kerinduan. Sariah terdiam kelu seribu bahasa. Penderitaannya tiada siapa yang tahu betapa seksanya. Rindunya semakin menjauh.
“Masya-Allah Bonda, mengapa jadi begini. Anakanda tidak terlihat akan luka ini semalam. Mari pulang anakanda sapukan ubat. Mari Bonda, esok Mayang bawa Bonda berjalan lagi ya,”Mayang terkejut melihat tiga kesan cakaran yang mencomoti wajah Sariah. Dia lekas-lekas membawa Sariah pulang untuk diubati. Tapi Sariah menolak.
“Nanti dulu Mayang. Bonda mahu tahu di mana letaknya Tasik Biru?”Sariah tiba-tiba bertanya. Mayang tersentak mendengar nama Tasik Biru disebut Sariah.
“Tasik Biru terletak dihujung kampung ini. Tapi mengapa Bonda mahu kesana. Tempat itu...tempat itu..tidak berapa molek untuk didekati kerana berpenunggu. Begitulah cerita orang kampung,”ujar Mayang sedikit ketakutan.
Benarlah telahannya selama ini. Memang sesuatu sedang berlaku di kampung ini. Masakan dia harus berdiam diri. Makhluk itu sudah menemuinya semalam. Dia harus meredakan keadaan ini secepat mungkin. Kelak, seluruh kampung akan terpesong dengan helah makhluk durjana itu. Janjinya, panji Tuhan tetap ditegakkan!
***
Iblis menjerit kebencian. Helahnya tidak menjadi. Masakan perempuan itu tidak termakan helahnya. Sedangkan selama ini dia sentiasa berjaya mengheret anak-anak Adam kejurang neraka bersamanya. Tapi kali ini, musuhnya agak sukar diperdaya kerana penyesalannya begitu pasti dan nekad. Namun, sekarang masih permulaannya. Masa yang bakal menentukan segalanya.
“Bila tiba saat dan waktunya. Manusia itu akan kuhumbankan keneraka bersamaku. Aku akan menyesatkanmu wahai manusia penyembah Tuhan. Ini janjiku!”raung Iblis dengan penuh kebencian dan kedengkian yang berturutan dari zaman Nabi Adam a.s. lagi. Iblis terbang dengan hilai tawanya yang memanjang. Gerun.
***
Kesaktian Bahagian Empat
Seusai solat Isyak di surau. Mayang berjalan beriringan dengan Sariah hendak pulang. Panglima Bogor terus kehujung kampung kerana ingin menyertai Majlis Bacaan Yasin di rumah Yong Limah. Sekerat perjalanan, Sariah merubah fikirannya. Dia ingin ke Tasik Biru malam ini juga. Perhitungannya belum selesai. Mayang serba salah meninggalkan Sariah keseorangan di gelap malam yang membungkus. Dia memberanikan diri menuju Tasik Biru yang dikatakan berpuaka itu. Sepanjang perjalanan lidahnya basah dengan zikir mengingati Tuhan. Musuhnya malam ini bukan calang-calang makhluk. Sakti dan hebat.
Panglima Bogor mengetuai bacaan Yasin pada malam itu. Jumlah yang hadir pada malam itu lebih ramai dari semalam. Panglima Bogor sedikit lega kerana lebih ramai, lebihlah kesannya nanti. Yong Limah terbaring kaku ditengah-tengah jemaah. Badannya diselimuti kain batik yang sudah kusam dan hampir lusuh. Wajahnya pucat kehitaman dan kelihatan lemah. Bagai orang kehilangan darah yang banyak. Matanya terjegil memandang keatas. Seolah-olah perutnya ditekan sesuatu yang kuat dan berat. Gema ayat suci menyelubungi sekeliling rumah Yong Limah. Penyakitnya misterinya masih belum kebah lagi. Angin malam menghembus keruang utama rumah. Semakin lama semakin deras. Jendela kelihatan terbuka dan tertutup tanpa henti. Bacaan Yasin semakin kuat dan lantang.
Yong Limah merupakan penari Mak Yong yang terkenal di Tanah Bruas ini. Dia tidak pernah bernikah dan dia tinggal sebatang kara. Kehebatannya menari tidak dapat ditandingi sesiapa. Yong Limah terkenal dengan kehebatannya mengubat orang kampung menggunakan ilmu kesaktiannya. Dia sentiasa kelihatan muda walaupun usianya sudah lanjut. Tentulah ilmu kesaktian itu diwariskan dari Iblis kepada keluarganya. Apabila ia tidak dijaga maka meranalah pemiliknya. Sebab itulah dipesan jangan bersahabat dengan iblis, kelak memakan diri.
“Teruskan perjalanan anakanda Mayang. Jangan dihirau apa-apa yang aneh. Jangan ditoleh kiri dan kanan. Lazimkan berzikir. Insya Allah semuanya selamat,” Sariah cuba menenangkan Mayang yang resah sedari tadi. Mana tidaknya, angin yang tadinya lembut menusuk bertukar ganas menggerunkan. Sesekali terdengar bunyi orang memijak dedaun kering. Pohon kelihatan bergoyang meliang liuk mahu rebah menyembah bumi. Sariah terhenti. Mayang pucat dan gelisah. Hilai tawa itu kedengaran lagi. Makin hampir dan nyaring.
Yong Limah tiba-tiba bangkit berdiri. Rambutnya menggerbang dihembus bayu. Jemaah mengucap panjang. Yong Limah memandang sekeliling. Dia menjerit meraung marah. Amat marah. Dia terus meracau-racau dalam bahasa Jawa kuno. Seruannya menyeramkan. Kemudian ia menangis merayu-rayu. Ada jemaah yang bertempiaran lari kerumah masing-masing. Ketakutan barangkali. Yong Limah berseru lagi. Bumbung rumah terangkat meninggalkan tempat asalnya. Jemaah yang ada dimaki sumpahnya. Yong Limah mengamuk dengan lebih dahsyat. Bagai ada kuasa yang menolongnya. Cuma Panglima Bogor dan Imam Malik saja yang tinggal. Mereka berpadu tenaga membaca ayat suci. Yong Limah menjerit lagi ketika pusat angin menerpa keruang utama rumah. Perlahan-lahan wajahnya bertukar menggerunkan. Pontianak.
Mayang duduk disamping Sariah dalam bulatan itu. Mereka terus membaca ayat-ayat suci. Seketika,satu bayangan putih melintasi mereka. Mayang menjerit kesakitan. Terasa sesuatu membelit dilehernya. Semakin lama, semakin ketat jerutannya.
“Ah, kamu lagi. Sudahku bilang, muka bumi ini milik Tuhan. Lepaskan anak itu. Perhitungan ini antara aku denganmu!”Sariah menyeru.
“Apa hakmu menghalangku. Darahnya nyawaku. Nyawa itu kekuatanku. Amaran sudahku berikan namun kau masih berdegil. Mahu menentangku ya, terima ini!”satu tamparan hebat dilemparkan kedahinya. Berdarah. Pusaran angin kehitaman muncul dari tiga arah berbeza. Dengan sekali hentaman, Sariah terpelanting kebelakang. Mayang terjerembab ketanah langsung pengsan. Pontianak itu menjelmakan dirinya kali ini. Memang hodoh. Sariah mengeluh kemudian dia mula mengatur langkahnya.
“Wahai syaitan yang dilaknati. Ingatlah perjuanganmu hanya didunia sahaja. Aku tahu asal keturunanmu, sebelum kuhapuskanmu, maka berlalulah kau dari sini. Jangan didekati manusia itu lagi!”Sariah menggenggam kerambitnya sambil membacakan ayat Kursi. Dihembusnya pada kerambitnya. Dia menanti masa. Pontianak jelmaan itu terus mengilai. Terbang dari dahan ke dahan.
“Tidak ada yang boleh menghapuskanku. Aku sudah sebati dengannya. Tubuhnya darah dagingku jua. Aku diperintahkan menjaga keturunannya. Aku tidak akan berganjak. Kamu yang seharusnya pergi. Tanah ini tanahku. Aku yang berhak!”Pontianak itu terus melayang menghampiri Sariah. Wajahnya menyeringai. Lidahnya terjelir-jelir panjang. Cakarnya panjang dan tajam. Pontianak itu gagal mendekati Sariah. Bagai ada tembok yang memisahkan mereka. Dia menjerit marah. Dikumpulkan tenaganya lalu dihimpunkan terus dihumbankan kearah Sariah. Sariah mengelak. Inilah masanya.
Kesaktian Bahagian Lima
Sariah melempar kerambitnya tepat kearah pontianak itu. Sasarannya ialah rusuknya. Penderitaan Yong Limah harus dihentikan. Begini saja caranya. Tiada yang lain. Angin menerpa lebih kuat. Pohon-pohon tumbang rebah. Guruh berdentum menampar langit. Kilat terbit di celah awan. Lolongan pontianak itu nyaring sekali. Pontianak itu berlegar diudara sebelum terhempas ketanah. Darah membuak-buak mengalir keluar dari tubuhnya. Sariah mengalirkan air mata. Dia tahu penderitaan Yong Limah amat pedih. Tikaman kerambit itu bagai dihiris selumbar buluh. Wajah pontianak itu berubah sedikit demi sedikit. Sariah mengusap dahinya yang berdarah. Ditadahnya darah itu kemudian dilemparkan kearah jasad Yong Limah yang separuh pontianak itu. Pontianak itu meraung lagi. Jasadnya terbakar. Hangus.
Pandangan Sariah berpinar-pinar. Dia seakan mahu rebah. Seluruh tenaganya sudah habis dikeluarkan. Sariah pengsan. Guruh mengaum lagi. Hujan turun renyai-renyai.
***
“Oh, bonda sudah sedar rupanya. Sudah seharian bonda pengsan tidak sedarkan diri. Ini ada pisang rebus. Marilah makan, pasti bonda lapar,”gadis itu menolong Sariah bangun dari pembaringan. Sariah kelihatan lemah tidak berdaya. Wajah perempuan itu persis Mayang. Serupa benar.
“Terima kasih, anakanda Mayang...”
Perempuan muda yang sedang menyusun pisang rebus itu senyap seketika. Siapa pula Mayang?, desis hatinya. Ibu ini kepenatan barangkali. Itu sahaja tafsirannya.
“Anakanda..anakanda bukan Mayang bonda. Nama anakanda Zubaidah. Anakanda terjumpa dengan bonda yang pengsan dekat pohon Meranti Hutan petang semalam. Anakanda kasihan melihat bonda yang tidak sedarkan diri,”terang Zubaidah ringkas. Dia menghulurkan sepiring pisang rebus kepada Sariah. Sariah yang masih terpinga-pinga itu kelu untuk berkata-kata. Dia hanya mampu tersenyum sumbing.
“Maafkan bonda anakanda Zubaidah. Bonda masih kepenatan barangkali. Benar bonda tidak sedarkan diri sejak kelmarin?”soal Sariah kurang pasti.
“Benar, bonda. Sebenarnya petang itu anakanda dalam perjalanan pulang dari pasar,”ujar Zubaidah lagi.
Sariah mengucap panjang. Sememangnya Tuhan itu Maha Kuasa menentukan segala yang terbaik buat hamba-hambanya. Sariah baru tersedar yang dia bukan lagi berada di Tanah Bruas. Tempat ini baru baginya. Dia cuba memikirkan bagaimana dia boleh berada dikawasan yang serba asing baginya. Semuanya bagaikan sekelip mata. Namun, Sariah reda dengan ketentuan Tuhan. Ujian yang diberikan Tuhan itu hanyalah tidak lain untuk menguji tahap keimanan hamba-hambanya. Sariah termenung panjang. Semakin difikirkan, semakin kusut jadinya. Dia mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja. Nanti masa yang akan menjelaskan kepadanya. Dia nekad.
***
Malam itu Zubaidah tidak ada di rumah. Ke mana dia pergi pun tidak dikhabarkan halnya. Sudah genap tiga malam dia berada dirumah Zubaidah. Kalau dikira-kira, sudah sepurnama perjalanannya mencari anaknya yang entah dimana. Apa yang dia tahu dia kini berada di Semantan. Ingatannya masih kabur dalam kesamaran perasaannya. Seingatnya, setelah selesai pengebumian Yong Limah, dia telah merantau kembali mencari anakandanya yang tercinta. Tentang tibanya di Semantan, tidaklah pula diingati. Aku sudah tua barangkali, begitulah desis hatinya.
Sariah sering memerhatikan tingkah Zubaidah yang aneh. Tiba saja malam, dia akan berpakaian jarang-jarang. Diwaktu siangnya, dia begitu sopan sekali. Rambutnya ditutup selendang. Ayu dan cantik. Sariah juga tahu yang Zubaidah sering berjumpa dengan seorang gadis ronggeng yang tidak begitu baik perangainya. Wajah gadis itu memang cantik tetapi dipenuhi seribu hasad dan dengki. Wajahnya seperti terpalit kehitaman yang entah dimana asalnya. Kalau tidak salah perempuan itu namanya Ratu. Begitulah apa yang didengarinya. Dia tahu yang Ratu amat benci padanya. Ratu juga tidak selesa apabila Zubaidah berada bersamanya. Pernah sekali Ratu berhamburan lari apabila melihat Zubaidah berjalan dengannya. Ekor matanya jelas menunjukkan kebencian. Sariah tidak tahu kenapa. Yang lebih menyedihkan ialah Zubaidah tidak pernah sembahyang. Anehnya wajahnya berseri-seri bagai orang yang dilimpahi nur kasih Tuhan. Sariah bingung. Benar-benar bingung.
Pungguk berlagu kasih bulan yang tidak kunjung datang. Sariah menghadap langit malam yang diterangi purnama. Rindunya pada anaknya masih belum terubat selagi anaknya itu masih belum ditemui. Sariah tahu yang anaknya pergi menuntut ilmu. Itulah pesannya kepada anaknya sedari kecil. Tapi kasih ibu tidak kemana. Sayangnya dia pada satu-satunya cahaya matanya tidak bisa ditukar ganti. Air matanya mengalir mengingati betapa pedihnya hatinya ketika melepaskan anaknya pergi.
***
“Anakku dengarlah pesan ibu. Perjalanan hidup ini amatlah panjang anakku. Carilah ilmu biar setinggi gunung. Penuhilah dada dengan tafsiran hidup sebagai bekalan menghadapi hari muka. Jangan cepat menghurai sesuatu yang belum pasti kerana kelak diri yang merana. Hati-hati dalam perlakuan dan tutur bicara nanti kebinasaan menyusulmu anakku. Lazimkan keping bibirmu dengan ayat – ayat Tuhan yang Agung. Berharaplah hanya pada Dia Yang Maha Kuasa. Pergilah anakku. Ibu akan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu,”pesan Sariah pada anaknya.
“ Terima kasih wahai ibu. Tajudin tak akan lupa pesan ibu. Tajudin sayangkan ibu. Ibu, Tajudin pergi dulu ya,”Tajudin mencium tangan Sariah langsung memeluknya. Itulah kali terakhir dia melihat anakandanya. Dia tahu Tajudin tidak akan pernah melupakannya. Tajudin anak yang baik dan mengenang budi. Naluri ibu memang benar dan sahih.
Sariah menutup jendela. Kantuknya tidak dapat dibendung lagi. Tiba-tiba dia terdengar suara perempuan meminta tolong. Suara itu seperti suara Zubaidah. Ya, memang Zubaidah. Tidak salah lagi. Sariah lekas-lekas keluar dari biliknya. Sariah tergamam.
Kesaktian Bahagian Enam
“Aduh, sakitnya..sakit...Tolong aku...Panas!Panas!”Zubaidah meraung-raung menahan kesakitan. Kedua-dua belah tangannya menutup wajahnya yang kepanasan. Zubaidah meracau-racau tidak tentu hala. Dicarik-carik rambut dan pakaiannya. Zubaidah tiba-tiba pengsan. Tidak sedarkan diri.
Sariah tidak mampu untuk berkata-kata. Dia memejamkan matanya. Hatinya menjangkau makrifatnya sejauh yang mungkin. Dia membuka matanya lantas mengucap syahadah. Ada yang tidak kena dengan anak ini. Susuk, desis perasaannya.
Ratu ketawa terbahak-bahak. Pengikutnya semakin bertambah. Ekor matanya melirik kebengisan. Jarinya diusap-usap. Raut wajahnya bertukar kali ini. Masam mencuka. Dia tahu ada yang menghalang jalannya. Dia memperkemas silanya. Kerisnya diperasap dengan kemenyan. Mulutnya terkumat kamit menjampi mantera. Mata kerisnya dipenuhi kepulan asap hitam. Bau busuk menyelubungi segenap ruang. Ratu terus membaca mantera. Tiba suatu ketika, ditoreh jarinya dengan keris itu. Darah merah mengalir keluar. Pekat.
“Hapuskan perempuan itu. Dia menghalang jalanku!”Ratu ketawa terbahak-bahak. Seketika wajahnya bertukar. Dia langsung melayang entah kemana.
Sariah terus membaca kitab suci kalam Tuhan. Zubaidah terus meracau-racau memohon supaya dihentikan. Dia tidak sanggup lagi menahan kesakitan. Perit dan pedih. Wajahnya seolah-olah disiram air yang panas menggelegak. Melecur sini sana. Tiba saat dan ketikanya, mengalir cairan kekuningan dari wajahnya. Emas mungkin. Zubaidah memakai susuk emas. Ternyata penangannya cukup hebat. Patutlah wajahnya berseri-seri. Bersahabat dengan Iblis. Beginilah jadinya.
Air mata Sariah mengalir pilu. Tidak disangka begini jadinya. Zubaidah yang disangkanya orang baik-baik ternyata salah sama sekali. Namun tanggungjawabnya tetap ada. Membawa anak ini kejalan kebenaran. Pondok buruk itu tiba-tiba bergegar bagai dirempuh geroda. Hentamannya berkali-kali. Sariah terjelepok jatuh ketanah. Pandangannya berpinar-pinar. Dia sudah tidak gagah lagi. Badannya lenguh longlai. Kulit matanya memberat mahu jatuh. Mulutnya masih gagah menyebut ayat suci. Dia tersedar. Ada yang menyerangnya menggunakan ilmu pukau, permainan Iblis! Ternyata penyerangnya bukan calang-calang pendekar. Barangkali dia bukan manusia!
Sariah memandang sekeliling mencari Zubaidah. Sariah terus berlari menuju ke sebuah gua di tengah hutan. Makrifatnya didalami sebolehnya. Dalam kegelapan malam yang membungkus, Sariah seolah-olah buta. Jangkauan makrifatnya seolah-olah tumpul. Tidak pernah terjadi sebegini sebelum ini. Sariah meneruskan langkahnya. Angin menderu deras. Sariah berhenti. Ada yang menunggunya dihadapan sana.
“Akhirnya kau datang jua kepadaku. Aku tahu keinginanmu Zubaidah. Aku tahu. Mari kepadaku sayang...”Ratu memujuk Zubaidah yang meracau-racau.
“Kau ingin menjadi cantik semula bukan. Aku tahu Zubaidah. Kecantikan ialah harga diri seorang wanita. Apalagi wanita seperti kau. Sebutlah Zubaidah....nyatakan dengan sepenuh jiwa ragamu, akulah tuhanmu! Hanya aku yang layak disembah! Tiada yang lebih berkuasa dariku!”Ratu menjerit mengagungkan dirinya. Seketika wajahnya bertukar. Iblis. Memang Ratu bukanlah manusia yang nyata. Dia memang Ratu tetapi ‘Ratu Iblis Laknatullah’. Iblis terus terbang melayang. Gema suaranya menggetarkan jiwa yang mendengar. Gerun. Angin terus menderu menerobos masuk kedalam gua. Sariah terpelanting kepintu gua ketika angin itu berputar. Lukanya kian parah.
“Jangan Zubaidah, jangan kau akui selain dari Allah Yang Maha Esa. Ingatilah Allah anakku. Dia yang menciptakanmu, hanya Dia yang layak disembah. Mengucap nak,”Sariah termengah-mengah. Juraian air matanya mengalir lebat membasah diwajahnya. Ditatapnya Zubaidah yang masih keliru antara dua kebenaran. Dia cuba mengeluarkan Zubaidah yang masih dipukau. Namun dia tidak terdaya.
“Kurang ajar, perempuan tua bangsat. Bedebah, kau sepatutnya kuhapuskan terlebih dahulu! Mengganggu urusanku sedari dulu!”Ratu Iblis itu melayang terbang seraya menyumpah ibu tua yang tidak terdaya itu. Ratu menyeru kekuatannya langsung dihamburkan semuanya kearah Sariah. Bumi bergegar merekah-rekah. Guruh berdentum bergilir-gilir memukul langit. Angin bagai diseru-seru saja terus bersatu dan berputar. Ligat dan ganas. Zubaidah kerasukan dan terus meliar. Rantai besi yang menggarinya putus. Tenaganya sungguh luar biasa. Angin iblis itu menghentam Sariah lagi. Kali ini dia menyerah. Tenaganya sudah habis semuanya. Puing-puing nyawanya seolah-olah berterbangan di awangan. Sayu dan pilu.
“Ya Allah, andai ini takdirku aku reda. Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan-Mu ya Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh-Mu ya Allah!”pandangan Sariah gelap. Hilang begitu sahaja.
“Tidak ada yang bisa mengalahkanku. Aku akan mengheret kamu sekaliannya bersamaku menuju neraka. Kealpaan dan kebodohanmu menjadi punca kecerdikanku. Selamat tinggal wahai manusia!”Ratu terbang melayang. Hilai tawanya menggerunkan. Pusat tenaganya ditujukan kearah Sariah. Nasib tidak menyebelahinya. Panahan itu terpesong menuju dinding gua. Bagai ada yang menepis membantu.
Ratu Iblis itu menjerit benci. Dinding gua mulai runtuh. Dia berterbangan lari keluar. Zubaidah tertimbus ketika mulut gua hampir tertutup. Tiada suara yang kedengaran. Segalanya sunyi sepi. Alam seolah-olah mengerti. Tidak beberapa lama, pintu gua itu dilitupi sesuatu. Ajaib. Tumbuhan itu menjalar menutup pintu gua, memisahkan yang didalam dan diluarnya. Ketika tumbuhan itu meninggi, matahari sudah tegak diatas kepala.
Anak muda itu terus berjalan lagi. Ditangannya tergenggam kemas sebilah parang buat mencantas tumbuhan hutan yang meliar. Tekaknya sudah kering benar meronta-ronta meminta air. Sang Suria terus memancarkan cahayanya. Tetapi aneh benar. Tidak ada kedengaran langsung bunyi riuh-rendah haiwan hutan pada hari itu. Anak muda itu masih tidak tahu apa yang menantinya.
“Tajudin, kemari anakku.....”kedengaran satu suara memanggil namanya. Suara itu kedengaran lagi menyeru namanya. Tajudin memandang sekeliling. Tiada siapa kelihatan.
“Ibu....”Tajudin tiba-tiba teringat akan ibunya. Dia lantas mencari arah suara itu datang. Dipetia sekelilingnya tanpa henti. Tiba-tiba dia terpandang akan sebuah tumbuhan yang begitu aneh. Tumbuhan itu dipenuhi duri yang tajam-tajam. Tumbuhan itu seperti melindungi sesuatu. Dahan-dahannya menjalar memanjang merayap. Ada sekuntum bunga merah yang cantik dipokok itu. Tempat itu harumnya semerbak.
“Tajudin, aku tahu dimana ibumu. Tetapi kamu harus membuktikan bahawa kamu sayang kepada ibumu wahai manusia. Sekiranya aku berpuas hati aku akan membenarkanmu bertemu ibumu. Jika tidak, kau akan menjadi makananku!”tumbuhan berduri itu bersuara. Dahannya yang menjalar merayap-rayap menghampiri Tajudin. Tajudin kaget. Dia memberanikan dirinya bersuara.
“Wahai tumbuhan yang budiman. Sememangnya aku sayang akan ibuku. Bagaimanakah caranya aku dapat membuktikan kasihku kepada ibuku? Aku teringin sekali bertemu dengannya...Bantulah aku wahai tumbuhan berduri,”Tajudin merayu.
“Jangan khuatir wahai Tajudin. Aku hanya mahu kau memelukku dengan sepenuh kasihmu Tajudin. Aku teringin merasai bagaimana rasanya kasih seorang anak terhadap ibunya. Aku tidak pernah merasai nikmat itu. Aku teringin sekali wahai Tajudin,”
“Jika itu kemahuanmu nescayaku turutkan. Tetapi janjimu mesti dikotakan. Jika tidak nyawamu menjadi galang gantinya,”Mengalir air mata Tajudin ketika berhadapan dengan permintaan tumbuhan itu. Biar seperit mana dugaannya, kasihnya kepada ibunya yang satu itu tetap dirindunya. Sekian lama merantau inilah sekali peluangnya untuk bertemu ibunya.
Meraunglah Tajudin tidak terkira apabila duri-duri tajam itu menusuk dagingnya. Peritnya penderitaannya hanya Tuhan yang tahu. Sebak hatinya mengenangkan ibu yang ditinggalkannya. Juraian air mata membasahi wajahnya. Darah pekat bersembur-sembur keluar ketika duri itu menusuk. Sakit. Berbisa. Pedih. “Ya Tuhanku, andai ini seksaan yang harus kutempuh, aku reda....berilah aku peluang bersama ibuku...”
Bisa tumbuhan itu mula menjalar masuk dalam urat sarafnya. Tajudin masih menahan sakit. Bumi basah disimbahi darah dan air mata kasih. Dahan tumbuhan itu berliang-liuk mengetatkan pelukannya. Ketika pelukannya makin lemah, tumbuhan itu melepaskan Tajudin. Serentak dengan itu, tumbuhan berduri itu layu kekeringan. Hancur luluh menjadi debu. Tersingkaplah pintu gua yang selama ini tersembunyi. Tajudin yang kesakitan jatuh menyembah bumi. Lukanya terus mengalir pedih. Dikejauhan kelihatan jasad ibunya yang terbaring kaku. Tajudin menangis teresak-esak. Dia hanya mampu merangkak menghampiri ibunya yang kaku. Bisu. Dipeluknya ibunya yang tidak bernyawa lagi. Rintihnya tiada yang mendengar. Kasihnya tiada yang tahu. Setelah diri terbaring kaku. Tajudin meraung pilu. Ibu yang dinantinya sudah pergi kealam lain. Meninggalkannya dalam kerinduan yang berpanjangan.
Bisa itu meresap kedalam darah langsung menyerang jantungnya. Ketika nyawanya diambang badai, Tajudin mengucup tangan ibunya lantas mengucap syahadah. Bayu lembut sejuk menerobos kepintu gua. Kilat terbit dicelah kepulan suci awan. Hujan turun dengan lebatnya. Ketika itulah Tajudin menghembuskan nafasnya yang terakhir. Disisi ibunya yang tercinta. Angin bertiup lagi. Syahdunya kasih dua insan. Anak dan ibu yang tidak akan terputus. Kekal tiada berkesudahan.
~Tamat~
P/S: Insya-Allah kisah ini akan disambung lagi dalam cerpen yang lain. Ratu masih belum menemui pengakhirannya yang sebenar. "Apabila kematian bertemu keabadian..."
Tok Dalik