Saturday, May 22, 2010

Drama Seram dan Manusia.

Baru-baru in saya selesai menonton drama Seram di TV3 yang berjudul Penunggu Gunung Raya. Pertama kali menontonnya saya sudah teruja. Melihatkan naskhah terbitan Filmscape Production Sdn. Bhd. yang sememangnya tidak mengecewakan saya. baik Kekasihku Seru, Tower 13 sehinggalah ke naskhah ini gaya penceritaan yang dibawakan pengarah drama ini sangat menarik. Unsur seram yang diwujudkan berjaya walaupun tidak sampai ke penghujungnya. Ketika penghujungnya, drama ini seolah - olah hilang keseramannya tetapi digantikan dengan unsur ingin tahu penonton bagaimanakah kesudahan drama ini. Pun begitu saya amat berpuas hati dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

Mengulas berkenaan isu drama Seram yang sering diperdebatkan oleh banyak pihak, saya memandang isu ini dari sudut neutral. kita tidak perlu terlalu obses dengan drama tahyul yang kadang - kadang melampaui batas dan meracun minda masyarakat. Sementara itu, keperluan kepada drama bercorak sebegini sememangnya unsur yang sebati dengan jiwa kita; masyarakat Melayu khususnya. Jika melihat kepada sejarah Ketamadunan Melayu yang asal, masyarakat Melayu di seluruh Kepulauan Melayu sememangnya berakar umbikan unsur tahyul dan perkara yang berkaitan dan seumpama dengannya. Kita hanya mengulas berdasarkan fakta Sejarah. Dari sudut yang lain, kita mengakui unsur tahyul yang wujud di alam Melayu ini berpunca daripada agama asal yang mula-mula bertapak disini; Hindu. Agama Politeisme yang lebih awal daripada kewujudan Hindu itu sendiri sudah mengetengahkan unsur tahyul dan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib. Saya tidak berniat untuk menyebelahi mana- mana pihak dalam isu ini. Terpulang pada kita untuk menerima dan membuat penilaian sendiri dan menetukan yang terbaik bagi diri kita.
Kewujudan Alam Ghaib sememangnya ada dan tidak dapat disangkal lagi. Kita pernah berhadapan dengan pelbagai situasi yang berbeza mengikut pengalaman masing-masing. Kebergantungan kepada sesama makhluk dan pengabdian sepenuhnya kepada mereka ini yang menjadi isunya. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari tanggungjawab dan tujuan kehidupan. Pembinaan asas akidah yang jitu perlu dimantapkan dari semasa ke semasa. Perlu diingat, kita bukannya malaikat yang imannya sentiasa tetap dan tidak berganjak. Iman dan keyakinan manusia yang mendorong manusia untuk terus hidup sentiasa berubah kedudukannya. Berbalik kepada kita sebagai muslim untuk memilh sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian kita sebagai manusia. Untuk apa kita menetapkan kebergantungan kepada sesuatu yang pasti akan musnah. Iblis dan syaitan hanya memepergunakan kealpaan dan kelalaian kita untuk menyesatkan kita sebagai peneman mereka di neraka kelak.

Kenapa menonton Drama Seram sekiranya terdapat kemungkinan kita takut atau kesan sampingan yang lain?  Kita mempunyai pilihan untuk menghindarkan sesuatu yang menjadi mudarat kepada perjalanan hidup harian kita. Perubahan untuk melakukan sesuatu itu terletak di tangan masing-masing. Mengapa tidak kita berhijrah dari pemikiran dan mentaliti lama yang mencemarkan jiwa kepada sesuatu yang lebih baik? Bagaimana suatu ketika dulu, kita boleh  menghapuskan unsur tahyul dengan kehadiran Islam di rantau ini?
Semangat perubahan masyarakat dahulu yang perlu kita contohi dan warisi. Bukannya kepercayaan tahyul tidak berasas dan merosakkan akidah. Siapa yang bersalah tidak menjadi persoalannya. Pendirian dan keyakinan kita yang menentukan segalanya.

Sebagai contoh, terdapat seorang pesakit yang terlantar sakit akibat kanser. Doktor yang merawat cuba memberi harapan dengan menyediakan suntikan tertentu kepada pesakit. Keyakinan pesakit tersebut telah berjaya menyembuhkannya walaupun tiada bukti saintifik tentang keberkesanan ubat itu sebelum ini. Tidak lama kemudian, terbit laporan tentang bahaya penggunaan ubat yang diberikan oleh doktor itu kepada pesakit yang telah sembuh tadi. Pesakit tadi tiba-tiba merasakan dirinya tidak selamat dan terus jatuh sakit buat kali yang kedua. Doktor tadi terus mencuba dengan memberikan suntikan ubatan palsu (placebo) tanpa pengetahuan pesakit untuk melihat bagaimana reaksi pesakit dari sudut kepercayaannya terhadap kebolehannya untuk sembuh semula. Kerana kepercayaannya terhadap suntikan itu, pesakit itu melihatkan tanda-tanda untuk sembuh pada peringkat awal sehingga dia mengetahui melalui perbualan jururawat yang merawatinya tentang suntuikan palsu itu. Pesakit berkenaan terus murung dan meninggal dunia pada akhirnya.

Apa yang dapat kita fahami ialah, kekuatan kita lahir daripada kepercayaan yang jitu tentang sesuatu perkara. Jadi mengapa mengapa perlu kita takut untuk berubah? Kita tidak dihalang untuk berubah. Persepsi kita sahaja yang terlalu mengongkong kita daripada mencipta diri kita yang sebenarnya.

Friday, May 21, 2010

Salam untuk semua.
Kesaktian ditulis plotnya ketika mengisi masa lapang saya setelah tamat PMR. Namun naskhah ini hanya sempat direalisasikan ketika akhir tahun 2008. Walaupun jalan ceritanya yang berbelit, saya amat berharap agar sesiapa sahaja yang membacanya dapat membuat penilaian sendiri. Berdasarkan cerita - cerita yang pernah saya dengar ketika kecil dan minat saya terhadap bidang ini, saya telah mengolah plotnya sedemikian rupa agar lebih menarik. Saya kurang berminat menyelitkan elemen romantis dan cinta; mungkin kerana tidak sesuai dengan jalan ceritanya. Terpulanglah pada orang yang membacanya. Karya ini merupakan karya berhakcipta, sebarang pengeluaran semula adalahDILARANGsama sekali.