Puasa di INTEC. Pengalaman baru? Tak adalah sangat. Cuma beza dengan asrama, makanan disediakan. Kali ini kena sediakan sendiri. Beli sendiri maksudnya. Hahaha...
Nasi Lemak yang sedap |
Waktu berbuka banyak lah pilihan. Nak berbuka di Masjid, Surau, Restoran atau di bilik masing-masing. Kalau nak berjimat bolehlah berbuka secara berjemaah di surau atau masjid. Berkongsi dengan rakan-rakan sambil berbuka dibawah pohon cemara pun menarik juga. Apa pun saya banyak berbuka di bilik sepanjang penggal sepuluh hari pertama berpuasa. Menu ikut citarasa sendiri. Hari ini berlainan dengan esoknya.
Pusing bazaar depan INTEC cari lauk. Macam-macam ada walaupun gerai asyik berulang dengan lauk yang sama, tetapi rasanya berbeza. Terpulang pada lidah masing-masing membuat pilihan. Selalunya, saya berbuka dengan nasi berlauk atau nasi lemak. Kadang-kadang kuetiau.. Aksesori lain seperti bubur dan kuih muih bergantung pada keadaan. Kebiasaannya saya jarang membeli kuih kerana kurang menarik dan sedikit cemar. Rasanya pun agak ke’bandar’an. Tak ada selera asli...hmmm....
Meriah sungguh berniaga |
Minum? Beli air bungkus atau air kosong. Selalunya saya beli air Bancau atau Kelapa dan Laici. Tapi tak tetap juga. Ambil saja yang mana murah tetapi berkualiti. Makan ala kadar saja. Nanti terlebih susah nak tarawih. Hehe...Ikutlah sunnah nabi. Ramai orang berbicara nak mengikut sunnah nabi tetapi tidak tahu tentang usul perkara. Sekadar berhujah, ini sunnah nabi. Mana mungkin sama pahalanya kalau sekadar berkata mengikut tetapi perlakuannya tidak sama dengan perlakuan junjungan baginda. Tak apalah, sama-samalah kita perbaiki diri. Bulan Ramadhan ini banyak keberkatan. Pandai-pandailah kita membahagikan masa mencari peluang. Peluang tidak datang banyak kali. Sekali terlepas, ia akan berlalu meninggalkan kita.
Sibuk membeli dan berniaga, solat jangan dilupa! |
Tarawih disini pun banyak pilihan. Masjid ada dua yang berdekatan. Masjid Hidayah dan Masjid Azhariah. Kalau rasa nak senang, di kolej pun ada juga. Sepanjang di INTEC, saya gemar bertarawih di Masjid Azhariah. Hanya dua kali di Kolej kerana cuaca kurang baik. Alhamdulillah, setakat ini masih mampu lagi bertarawih berjamaah di masjid. Semoga Allah kurniakan kekuatan kepada kita untuk terus beribadat pada-Nya di bulan mulia ini dan dipanjangkan lagi sampai kita mati nanti hendaknya. Ceritera puasa kita sebenarnya tak banyak beza. Tapi yang membezakannya ialah pengisian kita pada puasa tersebut. Apa yang lebih penting, kita sentiasa mengharapkan perubahan yang mencorak diri kita ke arah kebaikan baik di dunia mahupun khatimah nanti. Peliharalah hubungan dengan manusia tapi jangan sekali-kali melupai Rabbul Jalil pencipta Maha Kaya.
Tunduk hanya pada-Nya |
Kata-kata guru saya,
Ramadhan yang sama,
Natijah yang berbeza!
No comments:
Post a Comment