Sunday, July 25, 2010

Belajar dari Semut

A bug's Life
Dah cuba upload Video tapi tak berjaya juga...Tekan link di atas untuk menonton...

 
Apa yang dapat kita perhatikan daripada sedutan filem di atas? Siapa nak jawab? Tok Dalik nak bagi hadiah.... Hehe..Filem animasi memang seronok ditonton. A Bug's Life ini filem lama, tahun 1998. Ketika itu saya baru masuk 6 tahun. Kecil lagi waktu itu. Apa yang ingin saya tekankan ialah sikap rajin semut-semut memungut makanan walaupun pada hakikatnya dalam animasi ini mereka dipaksa bekerja oleh kumpulan Belalang yang malas bekerja. Abaikan kisah belalang, perhatikan kisah semut yang tekun bekerja. Begitu juga kita manusia yang bekerja untuk mencari sesuatu dalam hidup. Dalam kita bekerja, kita mencari kebenaran Ilahi.  Kita bekerja sebagai hamba-Nya.Tiap langkah kita seharusnya melambangkan keperibadian muslim yang sebenar. Dunia ini merupakan bukti kekuasaan-Nya yang perlu kita fahami dan terokai. Dalam kesibukan kita bekerja, adakalanya kita mengalami tekanan dan masalah yang memungkinkan kita kehilangan arah dan tujuan.Sepertimana kisah semut tadi yang mula panik dan cemas akibat terputus barisan dengan kawanan semut dihadapan. Mujur ada semut penunjuk yang mengawal keadaan. Dalam konteks kehidupan kita, kembalilah kepada Islam ketika kita kebuntuan dalam mengurus urusan harian. Sesungguhnya Dia sentiasa ada bersama kita. Mungkin kita yang sering terlupa atau melupakan-Nya. Petunjuk kita ialah al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang dipesan Nabi Muhammad S.A.W. Pada kedua-duanya terkandung jawapan bagi persoalan dalam kehidupan kita. Bunyinya seperti mudah saja. Hakikatnya kita tidak akan memperoleh apa-apa kalau sekadar mengharap. Carilah kebenaran itu pada keduanya. Berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik berpandukan saranan agama. Kita teliti pula kisah bakal Permaisuri Semut yang kelihatan gelisah sepanjang masa dan kemudiannya ditenangkan oleh Permaisuri Semut dan Penasihatnya Ketika menjalankan tugas atau sesuatu pekerjaan, rujuklah kepakaran orang yang lebih berpengalaman dari kita. Kita mungkin agak cemas pada pengalaman pertama, sebab itu perlunya interaksi dan komunikasi sesama manusia untuk memastikan kelancaran sesuatu pekerjaan. Kemudian kita perhatikan pula aksi Puteri Semut yang cuba untuk terbang. Ini yang dinamakan aturan sesuatu dan keteraturan itu perlu dipatuhi untuk memastikan kesempurnaan pembangunan apa saja yang dirancang. Kalau keteraturan itu tidak dipatuhi, mungkin berlaku kecacatan pada pertengahan usaha yang boleh merosakkan keseluruhan objektif yang direncanakan. Samalah dalam apa jua perkara, sebagai contoh mana mungkin seorang lepasan Ijazah Pertama terus menjadi seorang Pengetua ketika memasuki alam pekerjaan. Walaupun kebarangkalian itu tetap ada bergantung kepada keadaan semasa dan kemahiran lain, keteraturan itu yang mencorakkan keseimbangan. Melalui keseimbangan itu lahirnya kesempurnaan dan kelancaran. Dalam situasi seterusnya,kita perhatikan seekor semut yang berbeza dengan yang lain. Pandangannya sukar diterima malah diperlekehkan. Situasi ini sering terjadi ketika kita cuba untuk mengubah suatu kebiasaan pada sesuatu kelompok masyarakat. Sebab itu perlunya kesabaran dan perancangan yang lahir dari prinsip keteraturan. Sebagai contoh, kita ingin membetulkan kesilapan pandangan sebahagian umat Islam terhadap beberapa isu seperti isu Qunut, Kenduri Arwah, Tarawikh, dan sebahagian lagi isu yang tidak wajar sekiranya dijadakan pusat perkelahian umat Islam. Kita tidak boleh terus membawa arus perubahan dengan menolak sekeras-kerasnya pandangan mereka walaupun pandangan tersebut tidak tepat. Gunakan peranan keteraturan, kesabaran dan merancang bagaimana ingin merubah kebiasaan yang salah. Peristiwa pengharaman Arak berperingkat. Penurunan al-Quran juga berperingkat. Prinsip merancang dan berfikir sebelum bertindak mesti ditimbal-balik sebelum mengorak setiap langkah.  Diakhir sedutan filem diatas, kita saksikan kekecohan koloni semut akibat kedatangan Belalang yang menuntut hak makanan mereka. Permaisuri cepat mengeluarkan arahan untuk segera masuk ke sarang. Itulah sebaik-baik peranan ketua dan anak buah. Dalam situasi tertentu, kita boleh saja untuk menyuarakan pendapat dan meminta pandangan ketua. Ketua yang baik mesti mengambil kira kepentingan semua anak buah dibawahnya. Begitu kita perhatikan bakal Permaisuri Semut memeriksa keadaan sebelum dia masuk ke sarang sebagai semut terakhir. Walaupun dia terlepas pandang seekor lagi semut, iaitu semut yang diperlekeh pandangannya sebentar tadi. Dalam kekecohan itu, semut yang panik tersebut telah bertindak mengabaikan apa saja yang dilaluannya dan terus menyerbu kedalam sarang tanpa menyedari hasil kutipan makanan jatuh ke dalam sungai. Akibat orang yang tergopoh-gapah, bukan saja menyusahkan diri sendiri tetapi orang lain juga. Sebab itu perlunya kita sentiasa menyediakan ruang untuk mengingati Tuhan walau apa keadaan sekalipun. Pasti dia akan menghulurkan pertolongan. Mungkin lewat, mungkin cepat, mungkin bukan didunia tapi diakhirat. Siapa tahu, hanya Dia Yang Maha Kuasa berhak menentukannya kerana dia Raja kepada segala Raja. Dialah Penguasa yang menguasai segala makhluk ciptaannya.Kita hanya makhluk yang kerdil lagi hina,perlukah kesombongan untuk tidak berdoa dan mengingatinya?

No comments:

Post a Comment