Hujan Mozart awal 1448H/2026 M
Hari ini hujan berjurai-jurai membasahi bumi Seri Iskandar. Sambil ditemani hingar merah jambu akustik hujan yang bersenandung, saya membuka laman blog ini.
Postingan terakhir ialah pada tahun 2011 yang lalu. Saya kira kemudian saya terlalu sibuk dengan alam pelajaran di Jordan. Seterusnya saya mula dihanyutkan dengan lambakan drama TV (dimuat turun secara haram! dan dikongsikan secara pindahan ke dalam cakera keras bersama rakan-rakan) yang ditonton saban hari sampai saya lupa mencatat dan menulis. Kemudian lagi masuk alam pekerjaan dan meneruskan kehidupan yang rencam ini. Sesuai masa, penggunaan laman blog juga semakin kurang populariti kerana wujudnya media sosial yang lebih menarik dan mencandukan itu.
Sejak ditimpa penyakit (syukur menghampiri 5 tahun remission), menghadapi kehilangan ahli keluarga (alfatihah ibuku), dan hampir sedekad bekerja saya dapati saya perlu menulis dan mencatat kembali. Kesemua pengalaman ini akan hilang setelah kepergian kita ke alam abadi. Dan saya juga perasan sulur memori saya semakin tumpul dan sukar mengingat perkara. Dengan populariti blog yang menurun sekarang, ia tentunya lebih peribadi dan seperti diari yang terbuka dan boleh dibaca orang yang menyelak halamannya secara tidak sengaja. Mungkin ketika membuat carian di google untuk apa-apa saja.
Oh dan saya juga ingin menulis sajak dan puisi-puisi untuk kepuasan sendiri. Mungkin ada yang bersifat rasa-rasa keakuan dan mungkin juga yang cuba membawa gagasan untuk renungan bersama. Pagi ini juga saya bertemankan Mozart kerana kononnya dapat memperkasa minda. Saya fikir secawan kopi lebih membangkitkan seri pagi.

Comments
Post a Comment