Musim cuti hampir menjelang tiba! Ramai yang merencana perancangan menjelajah ke serata tempat. Hendaknya usaha kita itu menepati niat dan anjuran deen. Moga tiada yang tersimpang dari jalanNya. Berjalanlah dimuka bumi sebagai usaha mengingati Dia. Sesungguhnya tanda penciptaan dan kebesaran alam ini sudah cukup menjadi petunjuk bagi mereka yang beriman dan berakal.
Teringat kata-kata seseorang. Usaha dakwah tidak semestinya kena melibatkan orang dalam bidang dakwah sahaja. Anda, kita, saya dan semua Muslim menggalas tanggungjawab yang sama. Banyak orang banyak bicaranya. Konon tidak tahu mengungkap hadith dan Kalamnya buat hujah. Kalamnya dan hadith Rasulnya sebagai panduan. Bukannya alasan untuk menolak kewajipan. Jalan dakwah ini luas. Selagi mengajak ke arah kebaikan dan kesejahteraan deen ini, itulah Dakwah. Dakwah ada banyak uslub untuk sebaran dakyah. Pilih yang mana sesuai. Jangan sampai tersesat silap langkah.
Orang zaman sekarang, ramai yang mahu kembali. Pangkal jalan katanya. Banyak silap salah beban dosa. Tapi ramai juga yang kian leka. Ramai lagi yang lepas tangan endah tiada. Ada juga yang salah jalan. Akibatnya, buta hati, kelam jiwa. Sebab itu, peranan ini tidak akan habis. Ingatlah, masa kita ini antara hidup dan mati. Antara keduanya itu letaknya peluang amalan. Kerana KalamNya mencatatkan:
Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia (Allah) adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Ghafur (Maha Pengampun).
Al Mulk, 67:2
Bersyukurlah padanya kerana kita masih lagi ada. Usia yang semakin panjang bukan masa bersuka. Masanya untuk tambah dekat pada Dia. Bersyukur itu lambang kehambaan. Hamba sentiasa mengharap kasih dan ihsan Tuhan. Adapun kaifiyah syukur itu beberapa perkara. Paling mudah ialah zikir. Zikir menggarap maksud yang mendalam. Zikir sebagai ingat pada Dia. Tak mengira tempat dan masa jua tindakan. Zikir juga sebagai sebut. Sentiasa melazimi kalam yang mana ringan di mulut tapi berat di timbangan. Seperti mana nasyeed di laman ini yang mengungkapkan hadith Sahih Bukhari nombor 673,Vol 8, buku 78:
Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah bersabda; Dua kalimah yang disukai Allah. Ringan di mulut tapi berat di Mizan (timbangan). Subhanallahi wa bihamdih (Maha Suci Allah dan Pujian ke atas Nya), Subhanallahil 'Azim( Maha Suci Allah yang Maha Kuasa).
Kalimah yang mudah disebut dan disukai Nya tidak terbatas pada hadith ini sahaja. Kalimah zikir yang mendekatkan diri pada Dia yang tidak menyalahi paksi Deen, boleh terus diamalkan. Zikir juga sebagai renungan. Seperti di awal penulisan. Melihat keindahan alam sebagai zikir dan fikir sehingga mampu menerbitkan kesedaran. Siapa Dia dan siapa kita.
Tok Dalik
Tok Dalik
No comments:
Post a Comment